Jumaat, 28 September 2012

Penambahbaikan Skim Perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia

87. Bagi memastikan Angkatan Tentera Malaysia mempunyai modal insan berpengetahuan dan berkemahiran tinggi, serta merealisasikan visi dan hala tuju strategik ATM sesuai dengan keperluan semasa, Kerajaan bersetuju untuk menambah baik skim perkhidmatan ATM. Sehubungan itu, syarat lantikan bagi skim perkhidmatan ATM telah ditambah baik dengan kelayakan masuk bagi pegawai ditingkatkan kepada Ijazah Sarjana Muda Kepujian dan bagi askar laskar kelayakan masuk minimum ditingkatkan ke peringkat SPM dan Diploma berdasarkan skop tugas.

88. Mengambil kira keunikan perkhidmatan ATM, Kerajaan bersetuju untuk meningkatkan peluang kenaikan pangkat anggota ATM melalui kaedah kenaikan secara time-based anggota berpangkat prebet ke Lans Koperal dan Lans Koperal ke Koperal dalam tempoh 8 tahun dengan memenuhi syarat- syarat serta prestasi yang memuaskan. Ini adalah bagi meningkatkan peluang kemajuan kerjaya serta motivasi anggota ATM. Usaha ini akan memberi faedah kepada seramai 78,123 anggota dan melibatkan peruntukan sebanyak 107 juta ringgit.

89. Di samping itu, Kerajaan juga bersetuju memberikan bayaran insentif khas dengan kadar 200 ringgit sebulan kepada semua pegawai dan anggota ATM seramai 125,708 orang berkuat kuasa 1 Januari 2013. Langkah ini akan melibatkan implikasi kewangan sebanyak 301 juta ringgit.

90. Kerajaan menghargai peranan pasukan simpanan angkatan tentera sebagai pelengkap dan sokongan kepada angkatan tetap ATM. Bagi menghargai sumbangan mereka, Kerajaan bersetuju untuk menyelaras elaun khidmat bertugas daripada 4 ringgit sejam bagi anggota biasa kepada 6 ringgit sejam dan bagi pegawai, RM5.80 sejam kepada RM7.80 sejam melibatkan 65 ribu anggota simpanan angkatan tentera merangkumi Askar Wataniah serta Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut dan Udara di seluruh negara. Kadar baru ini telah pun dikuatkuasakan untuk RELA, JPAM dan PVR sebelum ini.

91. Kerajaan juga tidak lupa jasa bakti pahlawan negara. Untuk membantu bekas tentera yang bersara awal kerana berkhidmat kurang daripada 21 tahun serta tidak berpencen, Kerajaan bersetuju untuk memberi sumbangan sebanyak 1 ribu ringgit secara one-off kepada mereka. Peruntukan sebanyak 224 juta ringgit yang melibatkan 224 ribu bekas tentera ini akan dikongsi bersama oleh Kerajaan dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera.

92. Kerajaan juga akan memperkenalkan Skim Perlindungan Insurans Berkelompok kepada anggota tentera dan polis yang sedang berkhidmat dengan peruntukan 12 juta ringgit. Skim ini akan memberi had perlindungan maksimum sehingga 15 ribu ringgit kepada hampir 242 ribu anggota tentera dan polis.

93. Pada masa ini, Kerajaan meminjam sebanyak 6 bilion ringgit setahun untuk membiayai keperluan pinjaman perumahan penjawat awam yang diuruskan oleh Bahagian Pinjaman Perumahan, Kementerian Kewangan. Sebagai sebahagian daripada usaha konsolidasi fiskal dan mengurangkan beban tanggungan kewangan Kerajaan, BPP akan disusun semula di mana Kerajaan akan melantik panel bank komersial untuk menguruskan pinjaman perumahan Kerajaan yang baru berkuat kuasa Januari 2013. Segala manfaat dan bantuan sedia ada yang dinikmati oleh penjawat awam akan tetap dikekalkan malah ditambah baik. Penjawat awam masih tetap membayar 4 peratus kadar faedah ke atas pinjaman perumahan.

94. Selain itu, pada masa ini, wang proses yang dikenakan bagi setiap permohonan pinjaman perumahan penjawat awam adalah sebanyak 1 ringgit bagi setiap 1,000 ringgit pinjaman yang dipohon bagi pinjaman kali pertama dan 2 ringgit bagi pinjaman kali kedua. Bagi mengurangkan beban kewangan dan memudahkan proses kelulusan pinjaman, Kerajaan bersetuju untuk menetapkan wang proses ini pada kadar 100 ringgit bagi setiap permohonan tanpa mengambil kira jumlah pinjaman yang dipohon.

95. Kerajaan turut memberi perhatian untuk meringankan beban kos sara hidup bagi pelatih-pelatih yang mengikuti kursus pra perkhidmatan di peringkat ijazah, diploma dan sijil. Dengan ini, Kerajaan bersetuju menaikkan kadar elaun pra perkhidmatan yang melibatkan 31,135 pelatih. Skim perkhidmatan yang terlibat adalah Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran, Penolong Pegawai Perubatan, Penolong Pegawai Farmasi, Juru X-Ray, Jururawat, Jururawat Pergigian, Jurupulih Perubatan, Jururawat Juruteknologi Masyarakat, Makmal Perubatan, Pembantu Kesihatan Juruteknologi Pergigian, Awam Pembantu dan Pembedahan Pergigian. Untuk ini, sebanyak 84.2 juta ringgit akan disediakan.

ads

Ditulis Oleh : Guru Besar Hari: 7:42 PG Kategori:

0 ulasan:

Catat Ulasan

Bajet Negara 2013

 
. . .