149.
Kerajaan amat prihatin terhadap kebajikan pelajar terutama mereka
yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah. Kerajaan sentiasa
menyediakan peruntukan khusus kepada pelajar sekolah rendah dan
menengah yang merangkumi bantuan geran per kapita, bantuan makanan
asrama, Rancangan Makanan Tambahan, pembelian buku teks dan bantuan
bayaran tambahan persekolahan. Untuk ini, sebanyak 2.6 bilion ringgit
diperuntukkan pada tahun 2013.
150.
Pada pembentangan Bajet 2012, saya telah mengumumkan bantuan
persekolahan 100 ringgit kepada semua pelajar sekolah rendah dan
menengah. Bagi meringankan beban persekolahan keluarga berpendapatan rendah dan sederhana, Kerajaan sekali lagi akan meneruskan pemberian
bantuan persekolahan 100 ringgit kepada pelajar sekolah rendah dan
menengah. Bantuan ini akan dibayar mulai Januari 2013 dan bermanfaat
kepada 5.4 juta pelajar melibatkan peruntukan sebanyak 540 juta ringgit.
151.
Kerajaan akan meneruskan program Baucar Buku 1Malaysia kepada
setiap pelajar IPT dan pra-universiti. Suka saya mengumumkan, bahawa nilai
baucar akan ditingkatkan daripada 200 ringgit kepada 250 ringgit. Langkah ini
melibatkan peruntukan 325 juta ringgit dan akan memanfaatkan seramai 1.3
juta pelajar di seluruh negara.
152.
Kerajaan juga amat prihatin akan bebanan kos pendidikan tinggi anak-
anak. Bagi membantu meringankan tanggungan kewangan ibu bapa, Kerajaan
mencadangkan pelepasan cukai sedia ada bagi pendidikan tinggi anak-anak
sebanyak 4,000 ringgit seorang sekarang ini, dinaikkan kepada 6,000 ringgit
mulai tahun taksiran 2013. Langkah ini menunjukkan komitmen dan tumpuan
Kerajaan ke atas pelaburan bagi meningkatkan tahap pendidikan generasi
muda yang akan memberi manfaat kepada negara pada masa hadapan.
153.
Bagi menggalakkan sikap menabung untuk pendidikan, sukacita juga
saya mengumumkan di sini bahawa pelepasan cukai yang telah pun diberi
sehingga 3,000 ringgit bagi Skim Simpanan Pendidikan Nasional dinaikkan
kepada 6,000 ringgit.
154.
Menurut hukum, hutang wajib dibayar. Pinjaman PTPTN satu amanah.
Ia adalah satu keistimewaan, bukan satu hak. Jika hutang PTPTN tidak
dibayar, ia akan menafikan hak-hak pelajar masa depan. Oleh itu, bagi
memudahkan proses pembayaran balik, Kerajaan akan memperkenalkan
beberapa insentif. Pertama, bagi peminjam yang menyelesaikan hutang sekali
gus dalam tempoh setahun selepas pengumuman ini, bermula 1 Oktober 2012
hingga 30 September 2013, diskaun 20 peratus akan diberikan ke atas jumlah
pinjaman mereka.
155.
Manakala, bagi mereka yang membayar pinjaman secara konsisten
mengikut jadual mulai 1 Oktober 2012, diskaun 10 peratus setahun akan diberikan. Kita tahu ada pihak yang mencadangkan supaya hutang
keseluruhan hutang PTPTN dimansuhkan. Ini adalah satu perbuatan yang
amat tidak bertanggungjawab kerana jika dimansuhkan, siapa yang akan
menanggung lebih 30 bilion ringgit hutang PTPTN. Bukankah yang akan
terbeban adalah rakyat Malaysia? Bertanggungjawabkah jika kita yang
berhutang masyarakat yang menanggung. Itulah persoalannya.
Jumaat, 28 September 2012
Mengurangkan Kos Pembelajaran Pelajar
Lainnya dari 8.19. Mengurangkan Kos Pembelajaran Pelajar, fokus5

Ditulis Oleh : Guru Besar Hari: 8:50 PG Kategori: fokus5
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan