54.
Kerajaan sentiasa komited dalam memastikan syarikat Bumiputera
dapat bersaing secara seimbang dalam pemilikan syarikat besar, pekerjaan
berpendapatan tinggi serta pelaburan dalam sektor utama ekonomi. Pada
tahun 2010, ekuiti Bumiputera telah meningkat kepada 23 peratus berbanding
22 peratus pada tahun 2008. Salah satu usaha ialah meningkatkan
penglibatan syarikat Bumiputera dalam pelaksanaan jajaran pertama projek
MRT. Sesungguhnya, penglibatan syarikat Bumiputera dalam projek berimpak
tinggi seperti MRT akan meningkatkan keupayaan dan kemahiran syarikat
Bumiputera tempatan. Justeru, sebanyak 9 bilion ringgit atau 43 peratus
daripada nilai kos infrastruktur projek MRT diperuntukkan kepada syarikat
Bumiputera.
55.
Usaha juga akan diambil bagi membantu syarikat PKS Bumiputera
untuk berkembang dan mempertingkatkan pegangan ekuiti dalam sektor
ekonomi. Sehubungan ini, Dana Pembiayaan Bumiputera berjumlah 1 bilion
ringgit akan disediakan oleh SME Bank. Dana ini dijangka dapat membantu
PKS tempatan bagi tujuan membiayai pengambilalihan anak syarikat milik
GLC yang menjalankan aktiviti bukan teras dan telah dikenal pasti untuk dijual.
Setakat ini, 2 GLC telah mengenal pasti anak-anak syarikat yang berpotensi
untuk dijual kepada pelabur-pelabur Bumiputera.
56.
Kerajaan telah memperkenalkan Skim Jaminan Modal Kerja dengan
dana sebanyak 10 bilion ringgit bagi membantu syarikat PKS mendapatkan
akses pembiayaan modal kerja. Skim ini memberi jaminan maksimum
sehingga 2.5 juta ringgit bagi setiap syarikat yang layak. Pada masa ini, dana
Skim ini yang dikhaskan kepada syarikat Bumiputera masih berbaki 900 juta
ringgit. Bagi menarik lebih banyak syarikat Bumiputera menikmati kemudahan Skim ini, Kerajaan akan melanjutkan tempoh tamat program skim ini sehingga
31 Disember 2013, memperluas skim ini kepada syarikat Bumiputera
Berprestasi Tinggi dan meningkatkan kelayakan dana pemegang saham
syarikat daripada 10 juta ringgit kepada tidak melebihi 20 juta ringgit.
57.
Kemudahan pinjaman secara mudah dan cepat sering kali menjadi
kekangan kepada usahawan kecil terutama Bumiputera. Dengan tertubuhnya
Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), usahawan kecil kini
mampu memulakan dan memajukan lagi perniagaan mereka. Sehingga kini,
TEKUN telah menyalurkan pinjaman sebanyak 2.24 bilion ringgit kepada
224,175 usahawan kecil di seluruh negara termasuk sejumlah 34.5 juta ringgit
kepada 4,212 usahawan masyarakat India di bawah Skim Pembangunan
Usahawan Masyarakat India. Bagi tahun 2013, Kerajaan menyediakan
peruntukan sebanyak 350 juta ringgit, termasuk daripadanya 50 juta ringgit
kepada masyarakat India.
Jumaat, 28 September 2012
Pembangunan Usahawan Bumiputera
Lainnya dari 4.1.j. Pembangunan Usahawan Bumiputera, fokus1

Ditulis Oleh : Guru Besar Hari: 6:54 PG Kategori: fokus1
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan