Jumaat, 28 September 2012

Mewujud Kejiranan yang Selamat dan Harmoni

97. Kerajaan telah memperkenalkan langkah mengurangkan kadar jenayah sebagai salah satu inisiatif di bawah NKRA. Usaha mengurangkan kadar jenayah akan terus dipertingkatkan. Untuk tujuan ini, peruntukan sejumlah 591 juta ringgit akan disediakan bagi tahun 2013 untuk melaksanakan langkah- langkah berikut:

  • Pertama: Menambah bilangan perjawatan baru Polis DiRaja Malaysia pada 2013 untuk melaksanakan tugas-tugas rondaan dan pencegahan jenayah serta menaik taraf infrastruktur dan menyediakan peralatan moden;
  • Kedua: Menubuhkan Unit Rondaan Bermotosikal memantau kawasan perumahan. Untuk ini, Kerajaan akan menyediakan 1,000 buah motosikal dengan peruntukan sebanyak 20 juta ringgit;
  • Ketiga: Menambah bilangan ahli Pasukan Sukarelawan Polis seramai 10,000 orang dengan peruntukan 70 juta ringgit bagi membantu polis membanteras jenayah; dan
  • Keempat : Menambah pemasangan Sistem Kamera Litar Tertutup atau CCTV sebanyak 496 unit di 25 buah Pihak Berkuasa Tempatan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

98. Kerajaan sedar akan tugas dan tanggungjawab berat pegawai dan anggota Polis DiRaja Malaysia. Kepada warga PDRM saya mendengar rintahan saudari dan saudari sekelian tentang beberapa anomali yang wujud terutamanya dalam perjawatan untuk para pegawai. Kerajaan mendengar dan mengambil maklum kita tidak sekali-kali mengambil mudah tentang soal ini. Kerajaan telahpun mengarahkan pihak Jabatan Perkhidmatan Awam agar kajian komprehensif dilakukan untuk menambahbaik laluan kerjaya warga PDRM. Kajian dan segala cadangan yang dibuat hendaklah merundingi semua “stakeholder” dan hendaklah diselesaikan dalam masa secepat mungkin.

99. Kerajaan komited memastikan setiap rakyat yang dituduh di mahkamah mempunyai pembelaan sesuai dengan hak mereka yang dijamin oleh Perlembagaan dan telah memberi geran pelancaran sebanyak 14 juta ringgit kepada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan. Kerajaan dengan ini menambah 20 juta ringgit lagi peruntukan untuk tahun 2013.

100. Penglibatan swasta dan komuniti setempat secara menyeluruh bersama Kerajaan adalah penting bagi memastikan Malaysia menjadi sebuah negara yang selamat. Sehubungan itu, Kerajaan akan melaksanakan inisiatif-inisiatif berikut:

  • Pertama : Menyokong peranan persatuan penduduk bagi tujuan menggalakkan aktiviti rondaan di kawasan kejiranan. Untuk ini, Kerajaan bercadang memberi geran berjumlah 10,000 ringgit kepada 4,025 persatuan penduduk yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, dengan kos sebanyak 40 juta ringgit;
  • Kedua : Mempertingkatkan peranan rukun tetangga dalam membantu menjaga keselamatan kawasan perumahan. Untuk ini, Kerajaan mensasarkan 6,500 penubuhan kawasan rukun tetangga menjelang tahun 2013. Kerajaan akan memperuntukkan 39 juta ringgit bagi membiayai aktiviti KRT;
  • Ketiga : Menyediakan sepasang pakaian seragam untuk 300,000 anggota RELA yang aktif dengan peruntukan sebanyak 90 juta ringgit; dan
  • Keempat : Tolakan sepenuhnya perbelanjaan pemasangan alat kawalan keselamatan bagi syarikat-syarikat dalam tahun yang sama ia dibelanjakan, berbanding dengan tolakan semasa iaitu 8 tahun, di bawah galakan Elaun Modal Dipercepatkan. Kerajaan juga bersetuju galakan yang menarik ini turut diberi kepada syarikat pemaju perumahan.

ads

Ditulis Oleh : Guru Besar Hari: 7:50 PG Kategori:

0 ulasan:

Catat Ulasan

Bajet Negara 2013

 
. . .